Wednesday, May 3, 2017

SIFAT DUA PULUH – BAHAGIAN DUA




By Adnan Dahalan
SIFAT DUA PULUH
SIFAT MA'ANI
Apakah maksud sifat ma'ani ?
Pengertian sifat ma'ani adalah membawa maksud "PERGANTUNGAN". Ma'ani adalah sifat yang menumpang kepada sifat lain, seumpama sifat hidup yang bergantung kepada sifat haiyun, seumpama sifat basor, yang bergantung kepada sifat basiron dan sebagainya. Sifat ma'ani adalah sifat yang bergantung kepada sifat maknawiyah. Tanpa maknawiyah sifat ma'ani tidak berfungsi. Berfungsinya sifat ma'ani adalah dengan kerana limpahan rahmat dari sifat maknawiyah ( kuasa Allah ). Sifat ma'ani itu, bergantung dan menumpang sifat maknawitah.
Sifat Apakah Yang Terkandung DI Dalam Ma'ani ?
Sifat yang terkandung di dalam sifat ma'ani ada 7 perkara:-
1. Hayat. = hidup
2. Qudrat. = kuasa
3. Irodat. = berkehendak
4. Ilmu =. Mengetahui
5. Sama'. = mendengar
6, basot. = melihat
7. Qalam = berkata-kata
Apakah Bentuk Sifat Ma'ani ?
Bentuk sifat ma'ani itu, adalah sifat yang boleh dilihat dan boleh digambarkan oleh akal. Ianya juga merupakan sifat yang terzahit (tergambar) pada fikiran dan terbayang pada khayalan. Seumpama sifat hayat (hidup), ianya terbaayang kepada sifat nyawa, sifat melihat, terbayang pada sifat mata dan pendengaran, terbayang kepada sifat telinga. Kita boleh bayangkan sifat ma'ani, melalui pendengaran, penglihatan dan sebagainya.
Sifat ma'ani bukan sahaja terzahir pada khabar tetapi terzahir juga pada kenyataan, ertinya maujud pada khayalan fikiran dan maujud juga pada kenyataan sebenar. Ujud sifat ma'ani itu, adalah dikeranakan dengan sesuatu, kerana yang lain. Tanpa kerana sifat yang lain, sifat ma'ani tidak boleh wujud dan tidak boleh zahir. Wujudnya sifat ma'ani adalah dikeranakan menumpang sifat maknawiyah.
Bagaimana Menterjemah Sifat Ma'ani Pada Diri Kita ?
Sifat ma'ani Allah Ta'ala yang jelas terzahir pada diri kita ada 7.
1. Hidup
2. Mengetahui
3. Berkuasa
4. Berkehendak
5. Melihat
6. Mendengar
7. Berkata-kata
Ada dengan terang dan jelas menzahir sifat-sifatNya ke atas diri kita. Tujuan dizahirkan sifatNya supaya dijadikan sebagai pedoman, sebagai panduan dan sebagai iktibar untuk kita mengenal, melihat dan memandang Allah melaluinya. Allah bukan ain (bukan benda) yang boleh dikenal melalui bentuk hitam dan putih. Allah menzahirkan sifat-sifatnya ke atas diri kita adalah bertujuan supaya dijadikan "Tempat memandang sifat-sifatnya" kepada mereka-mereka yang berpandangan jauh.
Tetapi ramai yang masih tidak memerhatikannya. Sifat hidup, sifat mengetahui, sifat berkuasa, sifat berkehendak, sifat melihat dan sifat berkata-kata yang dipakai Allah atas diri kita, adalah menjadi tanda kebesaranNya atas diri kita supaya kita memerhati dan melihatnya. Sifat-sifat tersebut bukannya sifat peribadi kita tetapi sifat tersebut sebenarnya adalah hak kepunyaan mutlak Allah Ta'ala.
Sifat yang kita pakai ini adalah pinjaman semata-mata. Dari itu hendaklah kita sedar dan insaf akan hal itu. Kesemua sifat-sifat tersebut adalah hak milik Allah dan kepunyaan Allah swt yang sepatutnya dikembalikan semula kepada tuan yang empunya, sementara hayat masih dikandung badan. Penzahiran sifat ma'ani (angin) atas makluk (diri kita) adalah sekadar pinjaman yang berupa pakaian sementara, yang akhirnya dikehendaki kembali semula kepada tuan yang empunya. Allah tidak boleh diibarat atau dimisalkan dengan sesuatu.
Maha seci Allah dari ibarat dan misal. Segala misalan atau segala perumpamaan yang dinukilkan itu, hanya sekadar mempermudahkan faham. Sifat ma'ani itu, adalah seumpama bayang-bayang, manakala Allah Ta'ala itu, adalah seumpama tuan yang empunya bayang.
Firman Allah :-
25.Surah Al-Furqān (Verse 45)
أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا
Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan
bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)!
Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
Maksud hadis:-
"Allah Jadikan Manusia dalam bayangNya"
Maksud bayang itu, adalah merujuk kepada makhlok dan diri kita. Bayang (diri) sebenarnya tidak mempunyai apa-apa sifat. Bayang hanya sekadar sifat yang menumpang dari yang empunya bayang. Bergeraknya bayang adalah gerak daripada yang empunya bayang. Berdirinya bayang adalah dengan berdirinya tuan yang empunya bayang (Allah). Mustahil bayang itu boleh berdiri dengan sendiri tanpa kuasa dari yang empunya bayang (Allah). Bayang dengan yang empunya bayang itu, mustahil bersatu dan mustahil bercerai.
Diri kita dengan wajah Allah itu, adalah seumpama ujud bayang dengan yang empunya bayang atau seumpama bayangan wajah dipermukaan cermin. Sifat ma'ani itu tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa bergantung dari sifat maknawiah. Hubungan antara sifat ma'ani dengan sifat maknawiah itu, adalah seumpama hubungan antara bayang dengan yang empunya bayang, Contohnya seumpama sifat mata dengan penglihatan, sifat telinga dengan pendengaran dan sifat mulut dengan yang berkata-kata. Walau bagaimana keadaan sekalipun, ianya tetap tidak boleh bercerai dan juga boleh bercantum. Inilah yang dikatakan hubungan sifat ma'ani dengan sifat ma'anawiyah itu, bercantum tidak bercerai tiada.
Maksud hadis :-
"Tiada bercerai antara nafi dan isbat, dan siapa-siapa ceraikan antara keduanya maka orang itu kafir adanya"
Bayang bukan cahaya tapi tidak lain dari cahaya. Cahaya bukan matahari tapi tidak lain dari matahari. Begitu jugalah contohnya hubungan antara Allah dengan diri kita. Dari itu marilah kita sama-sama mengambil faham dan insaf bahawa sifat yang kita miliki ini, sebenarnya hak kepunyaan Allah, yang harus kita serah kembali kepada yang empunya.
Tujuan mempelajari sifat ma'ani adalah bertujuan supaya kita mengaku bahawa sebenarnya diri kita ini tidak ada, tidak wujud dan terjadi. Yang wujud, yang ada dan yang terjadi adalah hanya semata-mata Allah, seumpama sifat bayang, terzahirnya bayang itu, adalah bagi tujuan menampakkan dan menyatan sifat yang empunya bayang itu sendiri.
Di dalam keghairahan membicarakan soal sifat ma'ani, harus diingat bahawa Allah tidak bertempat. Allah tidak menjelma keatas jasad. Allah tidak bertempat di dalam atau di luar badan, Allah tidak bersatu, tidak bercantum dengan badan, Allah bukan kesatuan, Allah bukan bersyarikat, bukan bercantum dengan jasad kita. Orang-orang yang mengaku bahawa Allah menjelma di dalam jasad dan tidak kurang pula ada yang mengaku Tuhan dan sebagainya. Sesungguhnya mereka-mereka itu, adalah tergolong dikalangan mereka-mereka yang sesat dan sejahil-jahil manusia.
Allah tidak ada dalam diri kita, tetapi kitalah yang ada dalam Allah. Bukan kita mengandungi Allah, tetapi Allahlah yang mengandungi kita. Bukan kita yang meliputi Allah, tetapi Allahlah yang meliputi kita. Kesemua sifat yang kita miliki ini adalah milik Allah, sifat yang ada pada diri kita akan hancur, binasa dan hilang lenyap, sifat yang kekal dan yang abadi itu, hanyalah Allah swt.
Firman Allah :-
28.Surah Al-Qaşaş (Verse 88)
وَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَۘ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُۚ لَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada
Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua
dikembalikan.
Apa Hubungan Sifat Maani Dengan Roh ?
Sifat ma'ani adalah wajah Allah yang terzahir melalui sifat dan rupa paras roh, melalui sifat mata, mulut, telinga, dan anggota tubuh seluruhnya. Sebagaimana rupa dan paras roh, sebegitulah wajah ma'ani Allah, kerana rohlah sifat ma'ani Allah. Untuk melihat sifat ma'ani Allah lihatlah pada wajah dan sifat rupa paras diri kita sendiri. Hubungan roh dengan sifat ma'ani itu, seumpama sifat mata pada roh, penglihatan bagi Allah, telinga pada roh, pendengaran bagi Allah dan begitulah seterusnya.
Apakah Hubungannya Sifat Ma'ani Dengan Kalimah Syahdah?
Tujuan kita mempelajari dan mendalami ilmu ma'ani itu, adalah untuk membawa kepada pemahaman kalimah syahadah. Tujuan nafsiah membawa pengertian kepada lalimah "Laa" adalah kslimah bagi menafikan kewujudan sifat makhlok. Manakala sifat ma'ani kalimah "Ila ha" pula, bermaksud mengadakan atau mengiakan dan mengambil balik segala apa yang kita telah tolak dalam kalimah "Laa". Jika dalam kalimah "Laa" kita tolak semua sifat makhlok, manakala dalam kalimak "Ila ha" pula, ianya kita adakan semula. Walaupun sifatnya diadakannya kembali, ianya adalah sekadar sifat yang menumpang.
Jika dalam kalumah "Laa" kita mengaku bahawa tidak ada lain, selain Allah, manakala dalam kalimah "Ila ha" pula kita mengaku bahawa Allah telah menzahirkan makhloknya melalui 7 sifatNya, seumpama sifat hidup, kuasa, berkehendak, mengetahui, mendengar, melihat dan sifat berkata-kata. Walau bagaimana pun 7 sifat tersebut diatas hanya sekadar sifat menumpang. Seumpama sifat sama' menumpang sifat sami'un, sifat basor menumpang sifat basirun dan begitulah seterusnya.
Untuk dihubung kaitkan dengan kalimah syahdah, kita hendaklah melihat sifat mata yang kita miliki, tidak berguna, tanpa penglihatan Allah, telinga kita tidak akan bermakna tanpa pendengaran Allah, mulut tidak bererti tanpa berkata-kata Allah, hidung tidak berguna tanpa hidup Allah, akal tidak bererti jika tanpa ilmu Allah, anggota tidak bermakna tanpa kuasa Allah. Segala-galanya yang ada pada kita bergantung dan menumpang sifat Allah.
Semasa melafazkan kalimah "Ila ha" dalam bersyahadah, kita dikehendaki mengingati diri kita bahawa sifat yang ada pada diri dan yang kita bawa ini, tidak boleh berdiri sendiri, hanyalah sekadar sifat yang menumpang dan bergantung kepada sifat Allah. Diri kita tidak memiliki apa-apa. Kita tidak akan dapat melihat tanpa basirun Allah dan kita tidak akan dapat mendengar tanpa samiun Allah. Dari kesedaran dan keinsafan itu, membawa hati kita kepada suatu perasaan kosong, hiba, hina, kerdil, miskin, kecil dan perasaan fakir dihadapan Allah. Inilah tujuan kita mempelajari sifat ma'ani.
Diri kita ini sesungguhnya yatim piatu yang tidak punya apa-apa. Ibubapa, anak-isteri, kaum-keluarga, harta benda, hidup mati dan kaya miskin itu, adala hak Allah ta'ala, yang boleh diambilnya balik pada bila-bila masa. Yang kita miliki ini, adalah semata-mata hak kepunyaan Allah. Ditangan Allahlah diri kita, segala kekuatan, kecantikan, kekayaan dan kegagahan yang selama ini kita megah-megahkan itu, sebenarnya adalah milik kepunyaan Allah. Dengan kefahaman bahawa, sifat diri kita ini, sebenarnya mati dan menumpang. Seumpama sifat mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan seluruh anggota, menumpang wajah kebesaran Allah. Yang hendahnya dikembalikan semula sifat itu kepada Allah.
Anggaplah diri kita ini, sudah mati, binasa, hilang dan lenyap dalam wajah Allah. Yang kita miliki ini, semuanya adalah hak Allah Ta'ala belaka. Hendaklah kita serah kembali kepada Allah. Kembalikan sifat-sifat tersebut kepada Allah. Jadikanlah diri kita ini seumpama fakir, muflis, hina, mati, binasa dan hilang dalam kekuasaan Allah. Inilah diantara hikmah dan diantara intipati mempelajari sifat ma'ani dalam sifat 20.
Bagaimana Mengenal Allah Melalui Sifat Ma'ani ?
Peranan sifat ma'ani hanya sekadar menjadi saksi (kesaksian) Sifat ma'ani berperanan sekadar sifat menumpang. Seumpama basor, hanya menumpang kepada sifat basirun. Telinga menumpang sifat sama', manakala sama' pula menumpang sifat samiun. Lidah menumpang sifat kalam, manakala kalam pula menumpang sifat mutakallimun. Sifat ma'ani adalah sifat menumpang sifat maknawiah (sifat kekuasaan Allahh).
Dari kefahaman itu, dapatlah kita tilik diri sendiri, betapa sifat yang ada pada diri kita ini, semuanya kepunyaan Allah. Kita ada mata, tatapi Allah yang memiliki sifat penglihatan. Kita ada telinga tetapi Allah yang memiliki sifat pendengaran. Kita ada mulut tetapi Allah yang memiliki sifat berkata-kata. Begitulah seterusnya, yang menggambarkan bahawa diri kita ini adalah kepunyaan Allah.
Sifat ma'ani bertujuan supaya sifat Allah dapat dilihat melalui pancaindera, pada roh dan pada diri kita sendiri. Allah berilmu manakala diri pula bersifat mengetahui melalui akal. Allah berkudrat, manakala diri pula bersifat berkuasa melalui pancaindera. Allah berirodat, manakala diri pula bersifat berkehendak ( dapat berkeinginan melalalui rasa ). Allah bersifat sama' manakala diri pula bersifat mendengar melalui telinga. Allah bersifat basor manakala diri pula bersifat melihat melalui mata. Allah bersifat kalam, manakala diri pula bersifat berkata-kata melalui lidah.
Jangan sekali-kali kita menjadi lupa diri, bahawa semua sifat-sifat yang kita miliki ini, adalah kepunyaan Allah, diri kita ini, hanya sekadar menumpang sifat Allah. Apabila kita faham sifat ma'ani, dengan sendirinya membawa diti kita pulang kepangkuan Allah dengan tangan kosong, dengan menyerahkan segala sifat kepada Allah. Bahawasanya diri kita ini, sebenar nya adalah kepunyaan dan milik Allah sepenuhnya secara mutlak. Sifat yang kita pakai dan yang ada pada kita ini, seumpama sifat bayang (menumpang yang empunya bayang).
Setelah kita sedar, bahawa sifat yang kita pakai ini adalah sifat pinjaman dan menumpang sifat Allah, sebaiknya kembalikanlah semua sifat-sifat itu kepada Allah. Jangan sekali-kali cuba memakai pakaian Allah, walaupun secara percuma atau secara pinjaman, kerana kita tahu bahawa pakaian Allah itu, amat tidak layak untuk dipakai oleh kita. Kita tidak layak memakai pakaian Allah dan kita tidak sajak untuk menerima pijaman Allah. Pakaian Allah itu, Allahlah pemiliknya, Allahlah yang layak memakainya. Sebenarnya kita ini, tidak punya apa-apa pakaian atau persalinan. Kita ini adalah ibarat tangan kosong. Yang menjadi milik dan kepunyaan kita bukan pakaian atau persalinan, yang menjadi milik dan kepunyaan kita yang mutlak, adalah Allah itu sendiri.
Inilah konsep yang hendak diketengahkan dan yang hendak diterapkan melalui sifat ma'ani. Konsep serta kefahaman inilah yang benar-benar perlu kita fahami. Cuba fahami dan hayati betul-betul sifat ma'ani yang tujuh itu, apabila kita telah kasyaf dalam menghayati sifat ma'ani, di sinilah membawanya lebur dan terbakarnya sifat diri yang palsu dan yang menumpang ini.
Bagi mereka-mereka yang mengenal Allah, apabila dia cuba untuk memakai sifat Allah. maka hancur terbakarlah anggotanya, lebur musnahlah sifat jasadnya. Mereka tidak sekali-kali berani memakai sifat pakaian Allah. Pakaian Allah itu ada tujuh iaitu seumpama sifat hidup, ilmu, kudrat, irodat, samak, basor dan kalam, manakala pakaian kita juga tujuh isitu seumpama:-
1. Pakaian sifat mati (binasa)
2. Pakaian sifat bodoh dungu
3. Pakaian sifat lemah, lumpuh tidak berupaya.
4. Pakaian sifat tidak berkemahuan, tidak berkehendak
5. Pakaisn sifat pekak dan tuli.
6. Pakaian sifat buta
7. Pakaian sifat bisu.
Inilah pakaian dan sifat-sifat yang kita pakai serta pakaian mereka-mereka yang mengenal diri dan yang mengenal Allah swt. Mereka ini beranggapan dan beriktikat bahawa, diri serta jasad mereka sudah mati, tidak ada, lebur dan binasa. Mereka tidak lagi berakal tidak lagi mempunyai kekuatan, tidak lagi berkemahuan, tidak berpendengaran, tidak lagi berpenglihatan dan tidak lagi bersuara,diri dan Jasad mereka sudah fana', sudah baqo' dan karam dalam wajah Allah swt.
Diri mereka tidak ubah seumpama manyat yang hidup. Mereka tidak memakai pakaian Allah, mereka tidak meminjam pakaian Allah, mereka tidak mengambil persalinan Allah, mereka tidak memakai apa-apa yang menjadi haq Allah. Tidak layak bagi mereka untuk menerima apa-apa yang menjadi milik Allah. Bagi mereka, segala-galanya adalah dari Allah, kepada Allah dan berserta Allah. Baiklah didalam tidur, dalam jaga, dalam gerak, dalam tutur kata, dalam penglihatan, pendengaran, berkeinginan Dan sebagainya, semuanya milik Allah
Bukan sifat mata yang mereka pandang, tetapi penglihatan Allah, bukan sifat telinga menjadi tumpuan, tetapi pendengaran Allah, bukan mulut menjadi keinginan, yang menjadi keinginan mereka ialah suara (kata-kata) Allah Allah. Yang berkeinginan dan berkehendak itu, adalah Allah swt. Yang berkuasa dan berilmu itu adalah Allah. Inilah kaedah pegangan iktikad orang makrifat, dalam menterjemah sifat ma'ani. Yang menjadikan hati kita penuh yakin kepada Allah.
Tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk dipelajari dan difahami, adalah untuk membawa kita kepada suatu keinsafan diri, bahawa semua yang kita miliki dan yang ada pada diri kita ini, sebenarnya adalah milik Allah. Setelah kita sedar yang segala-gala sifat itu menjadi milik Allah, hendaklah kita kembalikannya semula kepada Allah. Seandainya yang menjadi milik Allah itu telah kita serahkan semula kepada Allah, semasa hayat masih dikandung badan dan semasa masih berada didalam dunia, apabila kita pulang kerahmatullah kelak (setelah kita mati nanti), tidak ada apa-apa lagi yang perlu ditanya, perlu dihisab dan perlu dipersoalkan oleh Malaikat Mungkar Dan Nakir.
Perkara yang membuat kita ditanya dan disoal itu, adalah kerana hutang sifat kita semasa di dunia masih belum dijelaskan, mereka yang belum melangsaikan pinjaman dan yang belum mengembalikan hak Allah semasa hayat masih ada dan semasa masih hidup didunia, hutang sifat yang kita pinjam dari Allah, hendaklah dikembalikan semula kepada Allah. Jika ianya dilangsaikan semasa di dunia, tidaklah ada lagi soal jawab dari Mungkar dan Nakir didalam kubur.
Apa lagi yang Allah hendak tuntut, apa lagi yang Allah hendak tagih dari kita, jika semuanya telah dikembalikan dan diserahkan kepadaNya. Hidup dan mati kita telah kita serahkan kepada Allah, jasad zahir dan batin telah dikembalikan kepada Allah. Apa lagi yang hendak Allah dakwa!, apa lagi yang hendak Allah tuntut !, yang hendak Allah dakwa dan tuntut itu, bagi mereka-mereka yang kembali kepangkuannya dengan tidak menjelaskan hutang sifat dan tidak mengembalikan hakNya. HakNya diambil pakai, diambil guna, tapi tidak pandai untuk memulangkan dan tidak pula pandai mengembalikannya semula kepada Allah.
Jika semuanya telah dikembalikan kepada yang empunya, nescaya tidak ada lagi, tuntut menuntut, dakwa-dakwi dan tidak lagi ada soal jawab kubur, malah dipintu surgalah kita disambut oleh Allah swt.
Inilah tujuan pengajaran sifat ma'ani diperkenalkan. Ini adalah tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk di ambil tahu oleh sekalian kita. Dengan mempelajari sifat ma'ani, akan membawa kita tahu untuk membezakan, yang mana hak kita dan yang mana hak Allah swt. Perhatikan sekali lagi perkara ma'ani dan hendaknya kita hayati dan tilik dengan mata hati yang kasyaf.
Selagi hayat masih dikandung jasad, kita di kehendaki mengembalikan hak kepada yang berhak, nantinya bila tiba di alam akhirat kelak, kita akan mendapat layanan dan sambutan yang istimewa dari penguasa langit, lain dari yang lain. Kita akan ditempatkan bersama orang yang sempurna lagi terpuji. Roh orang-orang sebeginilah di namakan roh mutmainnah, roh yang diterima Allah. Tempat kita itu, adalah disisi Allah, bukannya disisi tanah yang mengandungi ulat dan cacing.
Roh sebeginilah yang dikatakan roh yang suci bersih, roh yang sentiasa disertai air sembahyang, roh yang sentiasa di iringi dengan kalimah syahdah. Inilah roh mereka-mereka yang mati sebelum mati dan roh mereka-mereka yang mengenal diri semasa didunia. Inilah yang dikatakan roh yang mengenal tuannya. Tuan yang empunya roh itu, tidak lain dan tidak bukan hanya Allah swt yang satu lagi esa. Inilah penjelasan dan kupasan tentang kefahaman ilmu mengenal Allah (makrifat) melalui pelajaran sifat ma'ani dalam sifat 20, yang bukan sahaja setakat tahu makna tetapi hendaklah dihayati dengan isi disebaliknya.