Friday, May 5, 2017

SIFAT DUA PULUH – BAHAGIAN EMPAT ( AKHIR )


By Adnan Dahalan
SIFAT DUA PULUH
SIFAT SALBIAH
Apakah Maksud Sifat Salbiah ?
Sifat salbiah itu merujuk kepada kesempurnaan Allah. Kesempurnaan dalam kebesaran, keagungan, kesucian, ketinggian dan kekuasaanNya dalam segala-galanya. Lengkap yang tidak ada kurang, gagah yang tidak ada yang lemah, suci yang tidak ada kotor dan sebagainya. Tiada bandingan dengan selainNya. Inilah pengertian salbiah.
Andainya ada sifat yang tinggi, kedudukan Allah itu, adalah lebih tinggi, jika ada sifat yang halus, kedudukan Allah itu, adalah lebih halus, jika ada sifat yang baik, kedudukan Allah itu, adalah lebih baik, jika ada sifat yang putih, pastinya kedudukan Allah itu, lebih putih dan begitulah seterusnya. Inilah yang dikatakan sifat salbiah iaitu sifat kesempurnaan Allah. Ketiga-tiga sifat nafsiah, ma'ani dan maknawiyah itu semuanya terkandung didalam sifat salbiah (kesempurnaan)
Seandainya ada makhlok yang mendatangkan sebab, sesungguhnya Allahlah yang terlebih dahulu memberi sebab. Seumpama kita dengar ada orang mati sebab dimakan harimau. Mati dimakan harimau itu, hanya sekadar menjadi sebab mati atau menjadi punca mati. Sedangkan punca dari segala punca dan sebab dari segala sebab itu adalah datangnya daripada Allah. Mati kerana sebab harimau itu adalah sekadar sebab tetapi yang jadi penyebabnya adalah Allah sendiri. Allahlah menjadi penyebab dari segala sebab.
Ketetapan Allah itu, telah mendahului dan mengatasi kejadian makhlok. Inilah yang dikatakan bahawa sifat salbiah itu, adalah sifat kebesaran dalam kesempurnaan Allah. Allah itu sempurna dalam segala kejadianNya. Segala apa yang berlaku atas diri kita ini, adalah datangnya dari ketetapan Allah yang terbaik. Terbaik untuk kita dan terbaik juga untuk semua makhlokNya. Kita sebagai makhlok yang berserah diri kepada Allah, hendaklah terima segala apa yang berlaku itu dengan hati yang terbuka dan dengan hati yang berterima kasih kepada Allah. Terimalah segala yang berlaku atas diri kita itu, dengan berlapang dada dan bersyukur, semua yang terjadi telah mengikut dari apa yang telah tersurat.
Sifat salbiah itu bila dikaitkan dengan sifat 20, dibahasakan dengan panggilan musabit iaitu punca dari segala punca dan sebab dari segala sebab. Menyabitkan sesuatu dengan sesuatu. Sabit ertinya punca dari segala punca dan sebab dari segala sebab. Berlakunya sesuatu sebab itu adalah datangnya dari punca sebab (penyebab) itulah yang dikatakan musabit pada sifat 20. Punca dari sesuatu sebab, pasti datangnya dari penyebab dan musabab dan sabit itu, adalah dari musabit. Sifat salbiah adalah sifat pada peringkat punca, peringkat musabab atau peringkat musabab atau peringkat permulaan (musabit).
Sifat Apakah Yang Terkandung Dalam Salbiah ?
Sifat yang terkandung di dalam salbiah adalah ;-
1. Wahdaniah (Esa)
2. Sifat Qodim ertinya sedia Allah itu tanpa permulaan.
3. Baqo' ertinya kekal Allah itu tanpa kesudahan
4. Mukholafatuhu ertinya Allah itu tiada perbandingannya.
5. Qiyamuhu ertinya berdirinya Allah dengan tiada perlu bantuan.
Kelima-lima sifat tersebut tidak dimiliki oleh yang lain selain dari Allah. Kesempurnaan dalam keEsaan Allah (wahdaniah) yang tidak dimiliki oleh selainnya. Allah bersifat tunggal yang tidak berbilang-bilang pada sifat, perangai, nama atau pun pada zatNya. Yang berbilang-bilang itu pada wajahnya bukan pada sifat, perangai (perbuatan), nama arau zatNya.
Kesempurnaan Qodim atau sedianya Allah itu, dengan tidak ada permulaan, yang tidak dimiliki oleh sifat makhlok lain selainNya. Alam ini terjadi dengan ada permulaan dan ada akhirnya. Manakala sempurnaNya Allah itu apabila terjadinya Ia, dengan tidak ada permulaan. Begitulah seterusnya pada sifat baqo', mukholafatuhu ta'ala lilhawadis dan qiyamuhu binafsih.
Apakah Bentuk Sifat Salbiah ?
Salbiah adalah sifat yang berbentuk perkhabaran, yang mengkhabarkan perihal kesempurnaan, kebesaran, dan kemuliaan Allah. Sifat ini ada hanya ada pada fikiran dan sifat ini hanya ada pada zat Allah sahaja. Sifat Allah yang tidak dapat diukur melalui jauh dekat jaraknya, tidak dapat dianggarkan melalui ukuran besar kecilnya. Seumpama sifat Qidam (sedia), sedianya Allah Ta'ala itu dengan tiada permulaan, kita tidak dapat untuk menggambar atau membayangkan bagaimana mulanya Allah itu terjadi, akal yang diberi Allah pada kita, tidak dapat untuk mengkaji dan tidak dapat untuk dicerita dan tidak dapat untuk diperlihatkan secara zahir. Begitu juga dengan sifat baqo' (berkekalan) Allah Ta'ala itu tiada kesudahan, bentuknya tidak dapat untuk diukur, tidak boleh untuk disukat dan dianggarkan melalui kenyataan zahir. Di atas sifat kebesaranNya, kita dikehendaki mempercayainya tanpa usul.
Apakah Peranan Sifat Salbiah ?
Sifat salbiah berperanan mengajar kita supaya mengenal erti sifat ketuhanan yang tiada tandingan , tiada bandingan, tiada seumpama dengan yang lainNya.
Sifat kita sebagai makhlok ini, tidak sama dengan sifat Allah. Lihat sajalah sifat kebesaran Allah yang lima itu. Allah difatNya tidak ada permulaan sedangkan kita ini bersifat baharu, yang ada mula dan akhir. Allah bersifat baqo' (kekal) sedangkan kita bersifat menerima binasa, Allah bersifat bersalahan dengan yang baharu dan tidak serupa dengan makhlok kejadiannya, manusia menggunakan mulut untuk bercakap, telinga untuk mendengar, manakala sifat Allah tidak ada yang serupa, seumpama dan tidak ada yang sepertiNya. Sifat Allah yang qodim, tidak sama dengan sifat yang baharu (makhlok)
Allah berdiri dengan sendiri (qiyamuhu) tidak perlu ada pertolongan benda lain, sedangkan kita hidup ini memerlukan benda lain untuk menumpang hidup, seumpama anggota perlu kepada tulang, daging, air dan udara untuk hidup. Apabila sakit kita perlu kepada ubat, sedangkan Allah Ta'ala tidak memerlukan sokongan sesiapa atau sokongan dari apa-apa. Allah adalah Esa, satu atau tunggal, yang tidak ada bilangan, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
Manakala manisia perlu ibu bapa untuk dilahirkan. Sifat Allah tidak sama dan tidak serupa dengan sifat makhlok. Janganlah sekali-kali kita mengaku yang kita ini Allah atau kita ini Tuhan. Selagi bernama makhlok dan selagi bernama manusia, kita tidak boleh mengaku yang kita ini Tuhan. Peranan sifat salbiah adalah bagi menunjukkan kesempurnaan Allah, yang kesempurnaannya itu tidak ada tandingan dengan sifat-sifat makhlok. Bagi mereka yang mengenal Allah, mengenal diri dan bagi mereka yang mendalami sifat salbiah, mereka tidak sekali-kali mengaku yang dirinya sebagai Tuhan, apa lagi mengadakan sesuatu patong untuk disembah sebagai tuhan. Bagi mereka yang benar-benar mengenal Allah dan mengenal diri, pekerjaan seumpama mempertuhankan patung, tidak akan terlintas dihatinya. Yang mendakwa dirinya tuhan, sesungguhnya mereka-mereka itu dari golongan yang sesat, yang buta mata hati dan tersangat buta pula mata zahirnya.
Bagi yang benar-benar mengenal Allah, nama Allah yang sebenar itu, bukan boleh dilafaz dengan perkataan. Allah bukan suara dan bukan huruf. Allah bukan perkataan, samada perkataan aku atau perkataan dia. Tidak ada lagi perkataan "Allah atau Tuhan", Allah atau Tuhan itu, hanya sekadar nama. Sedangkan Allah dan Tuhan yang sebenar itu, sifatNya tidak berhuruf dan tidak bersuara. Allah juga bukan terletak dan tidak tertaklok kepada nama. Sedangkan Allah itu bersifat di atas segala kesempurnaan. Jika Allah ada nama untuk di panggil, kesempurnaan Allah itu melebihi, mengatasi dan mendahului dari panggilan. Allah itu adalah tuan kepada yang empunya nama itu sendiri. Inilah gambaran kebesaran Allah, yang hendak disampaikan melalui ilmu salbiah. Panggilan nama atau lafazan Allah dari bibir mulut seorang yang tidsk mengenal Allah, tidak ubah seumpama lafazan yang keluar dari mulut orang kafir. Mereka hanya tahu sebut sahaja, sedangkan hakikat tuan yang empunya nama, sedikit pun mereka tidak tahu dan tidak mereka kenal.
Allah bukan sekadar lafazan, ucapan atau sebutan dari bibir dan lidah yang tidak bertulang. Allah bukan perkara yang berhuruf dan bukan perkara yang bersuara. Allah yang sebenar itu, bukan sekadar panggilan nama. Allah itu bersifat maha besar, kesempurnaan besarNya itu, melebihi daripada besarnya panggilan nama. Allah itu bersifat maha tinggi, kesempurnaan tinggiNya itu, melebihi ketinggian panggilan nama.
Allah itu maha besar dari sekadar panggilan. Allah itu bukan sekadar sebutan suara dari bibir dan Tuhan itu bukan sekadar lafazan dari perkataan lidah. Allah bukan ain (benda) yang boleh digambar dengan sebutan nama, sebutan huruf atau sebutan suara. Allah adalah Allah, yang kesempurnaanNya melebihi sekalian nama. Andainya Allah itu, masih boleh dipanggil dengan suara dan masih boleh dipanggil dengan nama, bermakna ianya bukan Allah yang sebenar. Inilah kaedah penyampaian ilmu salbiah, bagi meletakkan kesempurnaan Allah itu, melebihi dari yang lain.
Peranan salbiah dalam sifat 20 itu adalah bagi menunjukkan bahawa apabila kita sudah sampi kepada tahap ini (tahap sifat salbiah), kedudukan keyakinan hati kita hendaklah hanya semata-mata kepada Allah. Tidak lagi ada basa basi dan tidak lagi dolak dalih, melainkan segalanya adalah hanya Allah semata-mata. Sifat yang lain sudah tidak lagi boleh di masuk perkiraan atau bilangan. Peringkat atau tahap sifat salbiah adalah peringkat yang peranannya hanya nampak dan lihat kesempurnaan Allah dalam segala hal dan segenap bidang.
Mereka-mereka yang sampai ke peringkat salbiah, hatinya sudah menjadi mabuk dalam cahaya kesempurnaan Allah. Sehingga tidak ada lagi makhlok yang hendak dinafi, ditolak, dibuang, dan tidak ada lagi makhlok yang hendak diisbatkan, diadakan semula, ditarik balik, dimasuk dan diambil kembali, melainkan yang mereka nampak adalah hanya Allah. Bagi mereka Allah itu, sudah jelas dan nyata dalam kebesaran dan kesempurnaanNya.
Peringkat ini adalah peringkat zuk
Atau pada peringkat karam. Mereka-mereka yang sampai ke peringkat ini, adalah mereka-mereka yang jiwanya sudah tergadai dan sudah terjual. Jiwa mereka-mereka ini, adalah jiwa yang hanya diisi oleh cahaya Allah dan wajah Allah. Di jiwa mereka sudah penuh dengan cahaya iman, cahaya ihsan. Apabila berkata mereka itu, katanya merupakan kalam Allah swt. Inilah diantara peranan pemahaman pelajaran ilmu sifat salbiah. Melihat, mendengar dan sebagainya adalah dengan penglihatan dan pendengaran Allah.
Jiwa dan raga mereka-mereka yang sebegini, adalah jiwa dan raga yang tidak lagi berfungsi, tidak lagi memberi sebarang faedah, jiwa dan raga yang tidak lagi berupaya. Jiwa mereka seumpama hilang, lenyap dan binasa. Hilang lenyap diri yang zahir, membawa kepada hilang lenyap pula dirinya yang batin. Zahir dan batinnya sudah karam didalam lautan wajah kesempurnaan Allah. Kefahaman sifat salbiah Allah yang lima perkara, telah melimpah dan menerangi hatinya, yang tidak lagi dapat dikawal oleh anasir pancaindera. Limpahan kefahaman sifat salbiah, tidak lagi terkawal atau tifak lagi tertaklok oleh akal. Sirna cahaya wajah ilahi, telah menyinari dirinya, nur Allah telah membakar dirinya, sehingga dirinya kini, bukan dirinya yang dahulu. Dirinya kini seumpama sudah mati dan sudah pulang kerahmatullah dan sedah kembali kepangkuan Allah.
Sesungguhnya jantung dan nadinya masih berdenyut dan nyawanya pula masih dikandung badan, diri mereka sebenarnya sudah mati dan sudah terkubur didalam cahaya Allah.
Inilah peranan yang hendak diketengahkan, diterjemah dan disampaikan oleh sifat salbiah. Inilah juga ilmu ulamak terdahulu, yang hendak disampaikan kepada kita supaya difahami dan dimengerti oleh yang berpandangan.
Peranan sifat salbiah dan peranan sifat-sifat yang lain adalah sekadar hiasan bahasa, sekadar kiasan dan sekadar perumpamaan semata-mata, sedangkan hati basyirah yang berpandangan sahaja yang dapat menyelami bahasa yang tersirat disebalik yang tersurat. Oleh itu renung-renunglah bahasa isyarat dan bahasa kiasan yang dipertontonkan itu.
Dengan mengenali bahagian-bahagian sifat 20 yang lima diatas, mudah-mudahan membawa kita kepada mengenal Allah swt. Inilah lazat, manis, zuk, cantik, mantiq dan nikmatnya bagi sesiapa yang dapat menyelami dan bagi sesiapa yang mempelajari bidang ilmu ini. Inilah bidang ilmu makrifat dan ilmu kalam yang tersembunyi disebalik huruf.
Bagaimana Cara Merujuk Tafsiran Salbiah Pada Diri Kita?
Sifat salbiah tidak boleh terzahir pada diri kita, melainkan hanya bagi Allah sahaja sifat itu. Sifat esa, sedia, kekal adalah sifat Allah yang bersalahan dengan sifat yang baharu dan Allah berdiri dengan sendirinya. Lima sifat salbiah itu, adalah sifat Allah yang mutlak bagiNya.
Sifat mutlak bagi kita pula adalah bersifat banyak dan berbilang-bilang, ada melayu, cina, india, besar kecil, tua muda, gemuk kurus dan sebagainya. Kita bersifat baharu, ibu melahirkan kita dan kita pula melahirkan anak, begitulah seterusnya. Kita bersifat binasa, hidup kita ini tidak kekal dan akan menemui mati juga bila umur kita sudah tua. Sifat kita bersamaan dengan makhlok lain, kita ada tangan makhlok lain juga ada tangan. Kita ada kaki makhlok lain juga ada kaki dan sebagainya. Hidup kita juga bergantung kepada pertolongan sifat lain, seumpama kaki memerlukan tulang untuk berdiri, hidup memerlukan pula kepada nyawa, makan perlu melalui mulut dan sebagainya.
Sifat ilmu yang ada pada kita pula dapat diukur tinggi rendahnya, namun kita tidak dapat untuk mengukur sifat pemberi ilmu. Kita dapat mengukur pendek atau panjangnya usia hidup kita, namun kita tidak dapat mengukur sifat pemberi hidup.
Manakala sifat kebesaran Allah itu tidak dimiliki oleh sekalian makhlok, hanya Allah sahaja yang memiliki sifat kebesaran, yang melimpah dan meresapi jantung kita. Limpahan kebesarannya itulah yang ada pada diri kita.
Apabila kita mentelaah pelajaran sifat salbiah, jangan kita lupa untuk menterjemahkannya pula kepada diri kita sendiri dan menghubung kaitkannya pula kedalam kalimah syahdah. Pengajian ilmu ini bukan setakat untuk tahu meletakkan perkatsan Allah pada tempatnya, yang lebih penting lagi adalah tahu akan maksud Allah dalam sifat salbiah dan hubungkaitnya dengan kalimah syahdah dan diterjemahkan pula ke atas diri.
Dalam pengajian ilmu makrifat, konsep kefahaman sifat salbiah, hendaklah sampai kepada tahap penamat dan tahap penghujung ilmu penyerahan. Seandainya kita masih dapati yang diri kita ini masih ada, bererti Allah tidak ada dan tidak Esa. Seandainya pemahaman ilmu kita sampai ketahap salbiah, diri kita ini hendaklah berada didalam kedudukan tidak ada atau dalam ertikata binasa secara keseluruhan. Selepas semua makhlok telah dianggap binasa, barulah kita dapat nampak bahawa Allah itu benar-benar wahdah, qidam, baqo' dan sebagainya.
Dalam ilmu makrifat, konsep penghayatan ilmu adalah amat penting. Iaitu konsep meletakkan sifat Allah sesuai pada tempatnya dan membuat perbandingan pula dengan diri sendiri. Inilah yang dikatakan konsep kefahaman yang berteraskan dan berasaskan kepada pemahaman dan penghayatan makrifat. Faham apa itu sifat salbiah dan faham bagaimana hubungkaitnya dengan kalimah syahdah dan faham pula bagaimana cara untuk meletak dan menterjemahkan keatas diri sendiri. Sifat 20 didalam salbiah menyatakan yang Allah itu Esa (satu atau tunggal), manakala jika diterjemahkan kepada diri kita, jadilah diri kita ini sifat yang berbilang-bilang. Maksud berbilang pula adalah merujuk kepada sifat kaki tidak sama dengan sifat tangan. Apabila ada mulut ianya tidak sama dengan sifat telinga. Apabila ada isteri (perempuan) tidak sama dengan sifat suami (lelaki). Sedanglan EsaNya Allah itu membawa maksud bahawa hayatNya itu adalah kudratNya dan kudratNya pula adalah hayatNya. Sifat Allah tidak berbilang-bilang, sifat Allah tidak berpisah dengan zatNya manakala zatNya pula tidak bercerai dengan sifatNya. Empat sifat (zat, sifat, afa'al dan asma') itu, sebenarnya adalah satu. Kata-kata Allah (kalam Allah) adalah juga ilmuNya dan ilmuNya adalah juga kalamNya. Sedangkan kedudukan diri kita boleh dibahagi-bahagikan mengikut anggota, boleh dibahagi-bahagikan mengikut nama dan sebagainya.
Semasa melafaskan kalimah syahadah (kalimah Allah), konsep lima sifat salbiah hendaklah diterapkan sehingga sampai ketahap pemahaman yang tinggi. Allah itu hendaklah diterjemah dan dikiaskan (ditafsirkan) kepada diri kita. Apabila dibalikkan kepada diri, jadilah diri kita ini binasa, benda yang tidak kekal. Benda yang tidak kekal pada kebiasaannya menemui mati (binasa).
Jika kita tahu yang diri kita ini bersifat binasa, apabila sudah binasa maknanya diri kita ini tidak ada ( tidak wujud ), sesudah diri kita tidak ada, barulah sifat ada (sifat wujud) itu benar-benar menjadi milik Allah yang mutlak. Setelah semuanya menjadi milik Allah, barulah apa yang kita nampak, pandang dan lihat itu menjadi rupa paras wajah Allah. Barulah apa yang kita lihat itu terpandang Allah. Selagi ada sifat makhlok, sifat hakiki Allah akan tertutup dan terlindung, yang membuatkan kita tidak dapat untuk melihat wajahnya. Sifat diri yang ada ini hendaklah dikembalikan kepada Allah. Setelah sifat diri dikembalikan kepada Allah, itulah tandanya kita telah tahu konsep salbiah. Konsep ilmu salbiah itu, apabila kita sudah dapat melihat kesempurnaan Allah atas sifat makhlokNya.
"Maka apabila aku telah mencintai kepadanya, akulah yang menjaga pendengaran yang dengan itu dia mendengar, penglihatannya yang dengan itu dia melihat, tangannya yang dengan itu dia memukul dan kakinya yang dengan itu dia berjalan dan bila dia meminta kepadaku, sesungguhnya aku berikan dan bila ia meminta perlindungan kepadaku sungguh akan aku lindungi"
TAMAT