Monday, November 29, 2021

Ada Orang Tuduh Makrifat Tok Kenali Tidak Berdalilkan Al-Quran dan Hadis

                                                                                    Isi Kandungan


Ada Orang Tuduh Makrifat Tok Kenali Tidak Berdalilkan Al-Quran dan Hadis

 

Mengenal Allah itu, hendaklah sampai kepada tahap tidak lagi ada berdalil-dalil.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah sekalian. Setelah saya baca jawapan sahabat-sahabat melalui Blog Makrifat Tok Kenali, saya dapati ada satu atau dua orang yang keliru, musykil dan tidak faham tentang kenyataan yang mengatakan bahawa dalam kita mengenal Allah itu, hendaklah sehingga sampai kepada tahap tidak berdalil.

Mereka yang tidak faham itu, telah mendakwa bahawa kenyataan itu, adalah kenyataan yang tidak lagi menggunakan dalil Al-Quran dan Hadis. Betapa rendah, dangkal dan singkatnya pemikiran sesetengah daripada pembaca blog, sehingga sanggup menuduh penulis komen TEGUH dan saya, tidak mengunakan dalil Al-Quran dan Hadis, dalam ilmu mengenal Allah.

Dalam hal ini, saya serba salah antara hendak menjawab atau hendak berdiam diri. Tetapi condong hati saya itu, banyak ke arah untuk menjawab, bagi mengelakkan tuduhan atau salah faham dari sesetengah pembaca blog terutamanya kepada penulis komen yang saya tidak mahu sebut namanya (tuan-tuan dan puan-puan carilah sendiri nanti akan jumpa siapa orangnya).

Kepada sidang pembaca blog yang budiman sekalian, jika ingin dan berhajat untuk membaca blog makrifat, janganlah menuduh jika tidak faham. Saya dan anakanda TEGUH, tidak pernah mengatakan bahawa dalam mengenal Allah itu, “tidak menggunakan dalil Al-Quran atau Hadis”. Cuba tuan cari, biar sepatah atau sepotong ayat yang mengatakan saya dan TEGUH tidak menggunakan dalil Al-Quran atau Hadis dalam mengenal Allah? Saya tidak pernah menyebut tidak menggunakan dalil Al-Quran dan Hadis.

Yang pernah saya sebut, yang pernah saya ajar dan kenyataan yang pernah saya tulis itu, adalah seperti berikut, “Dalam kita mengenal Allah itu, hendaklah sampai kepada tahap tidak berdalil”. Maksudnya di sini, bukan bertujuan untuk tidak berdalilkan Al-Quran atau Hadis, tetapi adalah bermaksud berdalilkan makhluk. Maksud saya, mengenal Allah sehingga sampai kepada tahap tidak berdalil itu, adalah seumpama, untuk mempercayai Allah itu, kita tidak perlu kepada dalil penglihatan, kerana sesungguhnya penglihatan itu adalah sebenarnya Allah (bukan lagi dalil). Cuba baca sifat 20, apakah erti basar? Basar itu ertinya melihat, siapa yang melihat, melihat itu sifat Allah. Bila Allah bersifat melihat, bererti melihat itulah Allah.

Untuk mendapat ingat, untuk mendapat pandang, untuk mendapat nampak dan untuk mendapat mengenal Allah itu, “hendaklah sehingga sampai kepada tahap tidak berdalil-dalil”. Maksud saya itu, tidak berdalil kepada penglihtan, kerana penglihatan itulah sifat Allah dan sifat Allah itu, itulah Allah. Hendak berdalil apa lagi. Jika masih berdalil-dalil lagi kepada penglihatan, pendengaran, berdalil kepada alam, langit, bumi, malaikat, syurga atau neraka, ertinya tuan ini, bukan ahli makrifat dan bukan orang yang berilmu makrifat.

Allah itu nyata, terang dan jelas, nyata, terang dan jelasnya Allah itu, sehingga kita tidak lagi perlu kepada dalil mata, telinga, mulut, kaki, tangan, pokok, bukit, matahari, bukit, lautan, angin, gajah, harimau atau tidak perlupun adanya diri tuan. Tidak ada dalilnya diri tuanpun, Allah itu nyata dan tetap nyata.

Nak berdalilkan dengan penglihatan untuk memandang Allah, mana mungkin penglihatan boleh memandang Allah sedangkan penglihtan itupun Dia! Allah itu terang, tidak perlu ada dalil mata atau matahari. Allah itu terang, jelas dan nyata yang tidak perlu adanya dalil dunia, jadi buat apa lagi nak berdalil-dalil? Itu maksud saya bukannya bersabit atau menyentuh soal Al-Quran atau Sunah, yang tuan masukkan elemen Al-Quran dan Hadis itu kenapa? Melainkan tuan ini, hanya tahu menyalahkan orang dan hanya tahu menuduh salah orang sahaja, yang betul, yang baik dan yang benar, tidak adapun tuan puji.

Untuk kita melihat, memandang, menilik atau mengenal Allah itu, “JANGAN DIKERANAKAN DENGAN SATU KERANA, JANGAN DISABITKAN DENGAN SATU SABIT DAN JANGAN DI DALILKAN DENGAN SATU DALIL”. Sebab apa? Sebabnya adalah kerana Allah itu, adalah Allah (tidak ada yang bersamaan dengan Allah, Allah itu bersalahan dengan sekalian yang baharu), jadi nak dalil apa lagi? Sebab buta mata hati tuan-tuanlah makanya berkehendak kepada dalil untuk mengenal Allah.

Itu sebabnya bilamana orang cakap lain, janganlah tuan cakap atau tuduh lain, bilamana fahaman tuan tidak sama atau berbeza dengan fahaman orang lain, jangan anggap fahaman orang lain itu salah, dikeranakan kita tidak arif. Mengatakan orang itu sesat, salah dan tuduh orang itu tak guna Al-Quran dan tak guna Hadis itu kenapa? Cuba jawab, mana dalilnya yang mengatakan saya ada tulis ayat atau perkataan yang mengatakan supaya “jangan berdalilkan Al-Quran dan Hadis?”. Tuan yang budiman, bahasa makrifat itu, tidak sebagaimana bahasa akal tuan, jadi janganlah asyik menyalahkan orang.

Tidak pernah saya mengeluarkan kenyataan yang menyebut, kita mengenal Allah sehingga tidak menggunakan dalil Al-Quran atau Hadis. Pandai-pandainya tuan ini menambah benda yang tidak ada, itulah sebabnya jika tidak faham sesuatu perkara itu, jangan gatal-gatal tangan untuk menulis, call saya terus di talian 019-4444713 dan ajak saya berjumpa, suruh saya datang ke rumahpun saya sanggup. Sekarang cuba tuan yang menuduh itu, call saya melalui talian 019-4444713, suruh je saya datang, bagi je tahu di mana, jam berapa dan alamatnya, insyaallah dengan izin Allah saya sampai.

Kepada penulis komen yang bernama HAR, Mohd Noor Shaarol dan ada diri, jika tidak faham sesuatu ilmu terutamanya ilmu makrifat, janganlah gopoh atau pandai-pandai menuduh. Jika asyik menuduh orang sahaja kerjanya, bila hendak beroleh faham ilmu makrifat!

Hendak dalil apa lagi, tidakkah terangnya matahari itu, terang lagi Allah, dekatnya mata putih dan mata hitam itu, dekat lagi Allah, kenapa nak berdalil lagi? Sesungguhnya tuan ini, adalah seorang yang sedang mencari unta yang hilang, sedarlah, sedarlah dan sedarlah, bahawa dan sesungguhnya unta yang hilang itulah, yang tuan sedang tunggang, mana mungkin berjumpa unta yang hilang sedangkan unta yang hilang itulah yang tuan sedang naik.

Sungguhpun saya faham bahawa yang menuduh itupun Dia (Allah), tetapi tuan-tuan harus ingat, jangan sahaja yang menuduh sahaja “Dia”, sesunguhnya yang menjawab inipun juga “Dia”. Jika sama-sama “Dia”, janganlah asyik menuduh sahaja.


https://makrifattokkenali.wordpress.com/2014/04/03/ada-orang-tuduh-makrifat-mengenal-allah-tok-kenali-tidak-berdalilkan-quraan-dan-hadis/



                                                                                   Isi Kandungan