Friday, March 18, 2022

4 Ulamak ada 4 pendapat dan 1,000 ulamak, maka 1000lah pendapat!

                                                                      Isi Kandungan

4 Ulamak ada 4 pendapat dan 1,000 ulamak, maka 1000lah pendapat!

Mari kita ambil diantara 4 pendapat ulamak;

1)               Ulamak usuluddin mengaku bahawasanya “tidak mengaku adanya Tuhan selain Allah”.

2)               Ulamak hulul mengaku  bahawasanya “yang ada itu, hanya Allah

3)               Ulamak wahdatul wujud pula, mengaku bahawasanya “sifat alam semesta ini, adalah bagi mempernampakkan sifat Allah”.

4)               Ini pula bagi pendapat saya (yang bukan dari kalangan ulamak). Ketiga-tiga pendapat di atas ini, tidak berlawanan, tidak bercanggah dan tidak ada pertentangan antara satu sama lain. Ketiga-tiga pendapat itu, adalah semata-mata bertujuan bagi menggambarkan sifat Allah yang satu!.

 

Pendapat ulamak pertama;

1)               Ulamak usuluddin mengaku bahawasanya “tidak mengaku adanya Tuhan selain Allah”.

 

Selain dari sifat diri yang asal itu, semuanya adalah bersifat baharu. Sungguhpun rupa paras gambar yang menilik dengan rupa paras gambar yang ditilik itu adalah serupa, tetapi ianya tetap tidak sama. Apa-apa yang terzahir terkemudian dari sifat Allah s.w.t itu, adalah bersifat baharu. Bayang, wajah atau gambar yang terzahir selepas tuan yang empunya itu, adalah disifatkan dan dianggap baharu. Seumpama sifat asap, ianya terzahir selepas adanya api. Seumpama sifat wap, ianya terzahir dari air panas yang menggelegak. Begitu juga dengan sifat bayang, ianya terjadi selepas adanya tuan yang empunya bayang. Begitu juga dengan sifat suara, terzahirnya suara adalah setelah adanya halkum.

Fahaman, pendirian atau pegangan iktikad dari golongan ulamak pertama, mendakwa bahawa terdapat ujudnya dua perkara. Pertamanya perkara api dan yang kedua perkara asap, pertamanya air panas dan yang kedua perkara wap, pertamanya objek dan yang kedua bayang serta pertamanya halkum dan keduanya suara.

Golongan ulamak pertama berpendirian bahawa kedua–dua perkara tersebut adalah tidak sama, berbeza dan berlainan. Api bukan asap dan asap bukan api. Objek bukan bayang dan bayang bukan objek. Air bukan wap dan wap bukan air. Suara bukan halkum dan halkum bukan suara. Garam bukan masin dan masin itu bukan garam. Manis itu bukan gula dan gula itu bukan manis. Biji benih bukan pokok dan pokok itu bukan biji benih. Buih bukan ombak dan ombak bukan buih. Ombak bukan laut dan laut bukan ombak. Awan bukan air dan air bukan awan. Dakwat bukan tulisan dan tulisan bukan dakwat kerana tulisan itu berupa huruf  manakala dakwat berupa cecair. Seruling bukan buluh dan buluh bukan seruling.

Bermaknanya di sini, jika dikias atau dirujuk hubungan Allah s.w.t dengan makhluk, ianya menggambarkan bahawa Allah s.w.t bukan makhluk dan makhluk bukan Dia.

Ulamak pertama tetap tidak sama sekali berganjak dari berpegang kepada kepercayaan dan pendapatnya yang bergantung kepada dalil, nas dan hujahnya. Cuba tuan-tuan lihat dengan mata kasar atau cuba fikir hanya dengan menggunakan akal biasa, tidak mungkin sifat asap boleh sama dengan sifat api. Sifat asap putih dan sejuk manakala sifat api pula adalah merah dan panas!. Apa mungkin sifat putih itu sama dengan sifat merah dan apakah sifat panas itu sama dengan sifat sejuk?. Jawapannya sudah tentu sama sekali tidak sama malahan amat jauh bezanya. Begitulah hujah dan dalilnya antara hubungan Allah s.w.t dengan makhluk, antara bayang dengan yang empunya bayang dan antara yang menilik dengan yang ditilik!. Dari kaca mata ilmu tasawuf atau pendapat ahli yang berilmu makrifat, hujah atau pendapat dari ulamak pertama itu, sesungguhnya adalah didapati benar dan betul.

Dalam keghairahan beriktikad, hendaknya jangan sesekali kita tersasar, lupa atau terlalai biar sedikitpun dari kembali semula menuju kepada Allah s.w.t yang satu. Bayang dengan tuan yang empunya bayang itu, memanglah tidak sama. Mana mungkin sifat asap itu sama dengan sifat api dan mana munking sifat panas itu sama dengan sifat sejuk. Begitu juga mana mungkin sifat suara itu sama dengan sifat halkum. Bunuh sampai mati sekalipun, tidak ada yang akan mengaku atau percaya, bahawa antara kedunya bersifat sama. Budak kecil yang belum akil baligh pun tidak akan mengaku bahawa sifat api dengan asap itu sama. Sedangkan akal budak kecil yang belum akil baligh tidak mengaku yang asap dengan api itu sama, inikan pula akal ulamak!. Apakah pula hujah ulamak kedua dalam menegakkan dalilnya?.

  

Pendapat ulamak kedua;

 2)               Ulamak hulul mengaku  bahawasanya “yang ada itu, hanya Allah

 Sebelum tuan-tuan menilai pendapat ulamak kedua, saya minta agar sekiranya dapat tuan-tuan memberi komen atau pendapat yang sejujur-jujurnya, mengenai dalil ulamak pertama. Sebelum meneruskan pembacaan pendapat ulamak kedua, saya minta tuan-tuan ambil sehelai kertas dan tulis satu-persatu pendapat, dalil dan pandangan mengikut pengetahuan ilmu yang ada di dada tuan-tuan. Setelah semuanya ditulis dan dicatat dengan jelas dan jujur, ayuh mari sama-sama kita fahami pula hujah ulamak kedua.

Golongan ulamak kedua pula berpendapat, berpendirian serta beriktikad bahawa Allah s.w.t itu berdiri dengan sendiri (qiammuhu binafsih).Allah s.w.t tidak perlu kepada apa-apa selain Dia. Allah s.w.t tidak perlu kepada pembantu, penolong, kuli, orang suruhan, pesuruh, timbalan atau orang kanan. Allah s.w.t boleh dan mampu berdiri sendiri. Sekiranya Allah s.w.t masih memerlukan kepada pembantu, timbalan atau orang suruhan, bermakna Dia belum cukup sempurna dan belum cukup kekuatan untuk bekerja sendiri dan masih lagi perlu kepada orang lain untuk membantuNya.

Seumpama garam tidak perlu kepada masin, kerana masin itu adalah garam. Gula tidak perlu kepada manis, kerana manis itu adalah gula. Laut tidak perlu kepada ombak, sebab ombak itu adalah laut. Api tidak perlu kepada panas, kerana panas itu adalah sifatnya api. Itulah ertinya Allah s.w.t itu berdiri dengan sendiri yang tidak perlu kepada selainNya. Objek tidak perlu kepada bayang, kerana bayang itu adalah sifatnya objek. Biarpun objek tidak ada bayang, objek boleh berdiri sendiri. Sifat bayang itu sudah sedia datang dengan objek. Sifat manis dan masin itu juga, sememangnya sudah sedia datang bersama gula atau garam.

Adanya sifat garam itu, semata-mata bagi menggambarkan kebesaran sifat masin. Sifat masin tidak boleh dipegang, tidak boleh dipandang dan tidak berkuantiti juga tidak berkualiti. Ianya sekadar sebutan nama atau panggilan kepada sifat yang berbangsa garam. Cuba kita pisahkan garam dengan masin, apa bolehkah kita ceraikan di antara sifat masin dengan sifat garam?.  Sifat garam itu sekadar nama semata-mata yang tidak lebih dari itu. Cuba kita masukkan garam ke dalam air. Apakah lagi kita terlihat garam?. Setelah masuk dan hancur dalam air, garam pun sudah tidak nampak, apalagi untuk melihat masin!. Apa yang terlihat dan yang terpandang hanyalah air semata-mata.

Perkataan air itu merujuk kepada ilmu. Apabila sifat masin dan sifat garam digabung atau dikamilkan dan dilarutkan ke dalam air (di karam ke dalam ilmu Allah s.w.t), maka hilanglah garam dan hilanglah masin, dan yang tinggal atau yang tersisa itu hanyalah  “rasa”.

Gelaran garam itu, adalah panggilan bagi mereka yang belum mengenal masin. Apabila garam telah lebur dalam air, ketulan garam tidak lagi kelihatan. Garam yang masa mulanya berketul-ketul, bilamana dimasukkan ke dalam air, ia akan larut, kamil dan sebati dengan air. Dengan itu, kita tidak lagi dapat melihat garam, yang tetap ada hanyalah masin dan masin juga tidak boleh dipandang atau dilihat kecuali ianya di rasa!. Cuba tuan-tuan kiaskan perumpamaan yang telah saya berikan di atas dengan sifat kejadian makhluk dan sifat Allah s.w.t. Makhluk itu seumpama sifatnya garam dan masin itu seumpama sifatnya pencipta.

Apa yang menjadi perbalahan dan pertelingkahannya yang tidak sudah-sudah serta tidak ada jalan penyelesaian dari dahulu sehingga sekarang di antara golongan ulamak pertama dengan golongan ulamak kedua itu, adalah dalam hal sifat garam dengan sifat masin. Golongan pertama mengatakan bahawa sifat masin itu suatu sifat yang sama sekali berasingan dari sifat garam. Dengan kata lain sifat garam itu bukannya sifat masin dan sifat masin itu bukannya sifat garam. Golongan pertama mengatakan bahawa antara dua sifat tersebut adalah suatu unsur yang berlainan dan suatu perkara yang berbeza (garam lain masin itu lain). Unsur ombak dengan unsur laut itu berasingan. Unsur bayang dengan objek itu lain.

Pada pendapat golongan ulamak kedua, mereka mengaku bahawa sifat garam dengan sifat masin itu, adalah suatu yang berbeza, berlainan atau tidak sama. Golongan kedua, mengatakan bahawa bagi sesiapa yang mengatakan ianya berbeza antara sifat garam dengan sifat masin, itu adalah mereka-mereka yang tidak mengenal sifat garam. Bilamana mereka tidak mengenal sifat garam, makanya mereka tidak tahu untuk meleburkan sifat garam supaya menjadi masin. Mereka hanya tahu garam tetapi tidak mengenal garam. Jika sekadar tahu dengan tidak mengenal garam, itulah makanya mereka tidak tahu untuk melebur, membinasa, menfana’ dan mengaramkan sifat garam ke dalam sifat masin. Mereka hanya tahu diri tetapi tidak dari kalangan yang mengenal diri, makanya tidaklah mereka mengenal pencipta dirinya!. Dan tidaklah dapat mereka meleburkan dirinya dalam wajah Allah s.w.t. Maka timbullah pendapat, yang masin itu lain dan garam itu lain.

Bagi menilai atau membezakan antara orang mengenal diri atau tidak, perumpamaannya seperti berikut:

Langkah pertama;

Sebagai amalinya, saya mahu tuan-tuan berhenti membaca kitab ini buat seketika. Saya mahu tuan-tuan betul-betul pergi ke dapur. Tuan-tuan ambil tiga biji gelas kaca yang bukan lutsinar (gelas yang tidak dapat dilihat isi dalamnya).

Kemudian, tuan-tuan masukkan gula yang sudah siap ditumbuk lumat ke dalam gelas pertama. Dalam gelas kedua pula, tuan-tuan masukkan garam yang sudah siap ditumbuk lumat manakala gelas yang ketiga, tuan-tuan masukkan serbuk ajinomoto. Alihkan kedudukan atau pusing-pusingkan gelas-gelas tadi supaya tuan-tuan tidak lagi dapat tahu akan apa isi kandungan di dalamnya (sama ada berisi gula, garam atau ajinomoto). Kemudian, sila tuan-tuan tentukan yang mana satukah gelas garam, yang mana satukah gelas ajinomoto dan yang mana satukah gelas yang berisi gula.

Langkah pertama ini, ditakrif kepada golongan mereka-mereka yang berada pada tahap ilmu “syariat” atau peringkat perkhabaran (tahap mendengar cerita). Iaitu tahap golongan mereka-mereka yang berada pada peringkat belum mengenal diri.

Inilah yang dikatakan maqam atau tingkatan ilmu syariat.

Langkah kedua;

Bagi mendapat tahu akan isi kandungan di dalam gelas itu, hendaklah tuan-tuan melihatnya dengan mata kepala sendiri. Setelah melihat yang mana satu gelas gula, yang mana satu gelas ajinomoto dan yang mana satu gelas garam dengan mata kepala sendiri, barulah boleh dikatakan benar-benar berada pada peringkat “tahu”.

Memandangkan ketiga-tiga bahan itu bersifat serbuk iaitu sifatnya hampir-hampir sama. Sama putih, sama halus dan dalam bekas yang hampir-hampir sama pula, maka tidaklah dapat untuk kita membezakan yang mana garam, yang mana gula dan yang mana satu ajinomoto.

Kiasan atau iktibar yang dapat kita kutip dari perumpamaan di atas adalah bagi menggambarkan keadaan atau tingkatan ilmu golongan yang tidak mengenal diri. Mereka hanya duduk pada peringkat atau tingkatan “tahu” tetapi belum sampai kepada tingkatan mengenal diri. Ini adalah golongan mereka-mereka yang yang berada pada peringkat “tahu diri” tetapi masih lagi dalam peringkat tidak mengenal.  Yang juga dikenali dengan golongan yang berada pada tahap berilmu torikat.

Seterusnya, hendaklah tuan-tuan menuangkan air ke dalam ketiga-tiga gelas tersebut. Kemudian kacau sehingga larut atau sebati. Sekali lagi alihkan kedudukan atau pusing-pusing gelas tersebut, sehingga sampai tidak lagi tahu yang mana satu garam, gula atau ajinomoto.

Kemudian, letakkan ketiga-tiga gelas tersebut di hadapan tuan-tuan dan tanya kepada diri sendiri, apakah sudah kita tahu yang mana satu gula, yang mana satu garam dan yang mana satu ajinomoto?.

Inilah yang dikatakan maqam (tingkatan) ilmu torikat.

Langkah ketiga;

Sesudah tuan-tuan melihat dengan mata kepala sendiri larutan tersebut, tuan-tuan belum lagi dapat bezakan yang mana satu, melainkan tuan-tuan merasakannya dengan lidah. Oleh itu, saya minta tuan-tuan rasa setiap air di dalam gelas tersebut dengan lidah sendiri. Dengan itu, tahulah tuan-tuan yang mana satu gula, garam atau ajinomoto.

Yang menjadi persoalannya di sini ialah, ramai dari kalangan ulamak, tidak tahu untuk mencapai kepada tahap ketiga. Golongan ulamak pertama, ilmunya hanya sampai kepada peringkat dengar, tahu dan lihat. Mereka ini tidak sampai kepada tahap merasa. Rata-rata dari kalangan ulamak kita, diibaratkan tidak ramai yang tahu untuk meleburkan garam, supaya ianya tidak lagi kelihatan sifat garam. Maksudnya, tidak ramai yang tahu untuk meleburkan diri, ke dalam lautan ilmu (wajah) Allah s.w.t supaya diri itu tidak lagi kelihatan sebagai diri sebagaimana leburnya garam di dalam lautan air yang tidak lagi kelihatan ketulan atau sifatnya!.

Dek kerana ketidakpandaian untuk melebur garam ke dalam air atau tidak pandai melebur diri ke dalam wajah Allah s.w.t, lalu golongan ulamak pertama menuduh golongan ulamak kedua itu, sesat. Mereka menuduh berfahaman wahdatul wujud, hulul dan berbagai fitnah yang mereka cipta sendiri bagi menyalahkan golongan ulamak kedua. Sedangkan, tuduhan-tuduhan itu sendiri, adalah tuduhan yang mereka sendiri pun tidak boleh memberi jawapan.

Bagi menghilangkan sifat garam, tuan-tuan perlu terlebih dahulu meleburkannya ke dalam air. Apabila semua garam sudah lebur, larut, sebati, kamil, fana dan binasa di dalam air, mana lagi kelihatan ketulan garam?. Apabila terleburnya garam, adakah masin juga terikut lebur?. Yang kita hendak rasakan itu bukan sifat ketulannya, tetapi yang kita hendak rasa dan yang kita hendak cari itu adalah masinnya.

Sebutlah ketulan itu dengan apa panggilan sekalipun, namun rasa masinnya tetap tidak akan berubah biar sedikit. Jadi nama tidak perlu, ketulan tidak perlu, sifat putihnya juga tidak perlu. Tidak ada sifat putih, tidak ada sifat ketulan dan tidak ada nama sekalipun tidak menjadi hal, kerana kita bukan mencari nama, bukan mencari putih dan bukan mencari ketulan. Apa yang kita cari itu adalah masinnya. Itulah makanya golongan ulamak kedua mengatakan bahawa masin bukan garam tetapi garam itu, tidak lain dari masin.

Selagi ada nama ianya belum tentu masin. Selagi ada ketulan, ianya belum tentu masin dan selagi ada warna putih, ianya belum tentu masin. Belum tentu yang putih, yang berketul atau yang bernama itu garam, mungkin ianya gula dan mungkin juga ajinomoto kerana ajinamoto dan gula juga bewarna putih, berketul dan bernama sepertimana garam.

Begitu juga dengan diri kita, selagi diri kita belum dapat dileburkan ke dalam wajah Allah s.w.t, selagi itulah kita nampak diri kita itu, kita. Tetapi setelah diri kita dapat kita lebur, binasa, fana, mati, kembali, pulang atau karamkan ke dalam wajah Allah s.w.t, di situlah tidak akan lagi nampak apa-apa selain yang terlihat dan yang terpandang itu adalah wajahNya sahaja. Sebagaimana hilangnya sifat garam ke dalam sifat masin.

Ilmu golongan pertama tidak pernah sampai kepada tahap lebur, tahap binasa atau tahap karam. Oleh itu, mereka menuduh golongan ulamak  kedua itu, sesat dan salah. Padahal, mereka tidak pernah sampai ke dalam lautan “rasa”.

Ilmu “rasa” tidak lagi perlu kepada jasad, nama, ketulan, warna atau panggilan. Sebagaimana tidak perlu lagi sifat garam kepada bentuk ketulan bilamana ianya berada pada lidah. Biarpun ketulan garam itu sudah lebur, hilang bentuk atau ketulannya, namun “masin” tidak akan pernah hilang atau lebur. Tetap masih jua terasa masinnya.

Cuba tuan-tuan yang arif sekalian, ceritakan penghayatan melalui kertas yang berada di tangan tuan-tuan. Adakah tuan-tuan tahu tentang erti masin sekiranya belum dilebur ke dalam lidah?. Apakah kaedah pengecaman yang tuan-tuan akan pakai bagi menentukan bahawa bekas tersebut mengandungi bahan berupa garam sekiranya tuan-tuan belum mengecapinya?. Cuba cerita, adakah boleh tuan-tuan cerita sekiranya belum tuan rasa?. Jika tuan-tuan belum boleh melebur garam diri ke dalam lautan lidah “rasa”, jangan sesekali mudah mendakwa atau menuduh orang lain sesat atau salah.

Namun kebanyakkan golongan ulamak pertama, mereka hanya pandai menuduh, sedangkan mereka sendiri tidak pernah sampai kepada tahap itu!. Bilamana tidak sampai, makanya tidaklah ada kerja lain lagi melainkan mendakwa bahawa ajaran itu sesat, ajaran ini salah dan ajaran sana tidak betul. Selagi kita tidak tahu untuk meleburkan garam diri ke dalam air wajah Allah s.w.t, jannganlah hendaknya menuduh dan menfitnah golongan kedua.

Oleh yang demikian, hendaklah terlebih dahulu jadikan kita ini seorang yang tahu dan pandai untuk memisah-misahkan atau meleburkan antara sifat garam dengan sifat masin. Orang yang tidak sampai kepada tahap melebur diri, tidaklah sekali-kali dia boleh menjadi masin ke dalam wajah Allah s.w.t (orang yang tidak melebur garam diri, tidaklah sekali-kali dia boleh merasa masinnya dalam wajah Allah s.w.t).

Mereka-mereka yang dari golongan ulamak pertama, tidak sekali-kali dapat menerima kenyataan bahawasanya sifat garam itu, sebenarnya tidak ada (binasa). Yang ada itu hanyalah sifat masin. Iaitu, sifat masin itu tidak lagi perlu kepada nama, bentuk atau warna. Cukuplah dengan sifat masin. Itulah makanya golongan ulamak pertama beriktikad, berfahaman atau berpegang teguh dengan penuh yakin bahawasanya sifat garam dengan sifat masin itu adalah satu. Sungguhpun ianya satu, ingatlah bahawasanya sifat garam bukan masin tetapi masin tidak lain dari sifat garam. Tetapi, sesungguhnya masin itulah garam. Melainkan mereka mendakwa bahawa sifat masin dengan sifat garam itu, adalah suatu yang berbeza.

Antara manis dan gula itu adalah suatu yang berlainan dan tidak sama. Itulah pendirian golongan ulamak pertama. Bermaknanya, gula bersifat lain dan manis itu bersifat lain. Gula atau garam tidak sama dengan sifat manis atau masin. Adanya gula dan adanya manis itu suatu yang berbeza. Sifat gula bercerai, berpisah atau berasingan dengan sifat manis.

Mereka percaya bahawa diri bersifat “ada” dan Allah s.w.t juga bersifat “ada”. Begitulah dalil dan hujah ulamak kedua dalam mentafsir iktikad serta pegangan hubungan makhluk dengan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak perlu kepada makhluk untuk menyokong kebesaran dan kesempurnaanNya. Kerana makhluk itu sendiri adalah menggambar atau melambangkan kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t. Kebesaran dan kesempurnaan Allah dengan Allah tidak boleh dipisah-pisahkan!. Kebesaran dan kesempurnaan itu Allah s.w.t dan Allah s.w.t itulah kebesaran dan kesempurnaan.

Inilah yang dikatakan makam (tingkatan) ilmu hakikat.


Pendapat ulamak ketiga

3)              Ulamak wahdatul wujud pula, mengaku bahawasanya “sifat alam semesta ini, adalah bagi mempernampakkan sifat Allah”.

“Man lam yazuk wala ya arif”. Maksudnya, barang siapa yang belum pernah menikmati, tidaklah ia merasa.

Bagi yang menikmatinya sahaja yang tahu rasa manis, masin, pahit, payau, kelat dan sebagainya. Inilah yang dikatakan peringkat zuk, fana’, baqa’, cinta, rindu, kasih, dendam, kiam, mati, lebur, binasa, tiada, karam dan inilah yang dikatakan peringkat “ana sirr ri, wa ana sirr ruhu” iaitu aku rahsia engkau dan engkau itu rahsia aku. Inilah yanng dikatakan peringkat tahu sama tahu, tahap roh mutmainnnah iaitu roh yang tenteram saling redha meredhai. Tenang, aman, bahagia, suka dan tenteram selamanya di bawah wajah Allah s.w.t.

Jalan itu banyak, kaedah itu banyak, cara itu banyak, torikat itu banyak, cabang dan ranting itu banyak tetapi jalan atau kaedah untuk menumbuhkan kecintaan, kerinduan dan keasyikkan kepada Allah s.w.t itu hanya satu-satu jalan bagi golongan yang boleh meleburkan dirinya dalam wajah Allah s.w.t. Seumpama jalan, cara atau kaedah mereka-mereka yang dapat meleburkan garam ke dalam wajah masin.

Bagi golongan yang sudah mencapai tahap fana’, baqa’, zuk atau asyik sahaja satu-satu yang akan ditempuhi oleh golongan ulamak yang kedua. Iaitu, setelah sampai kepada tahap diri kita ini binasa dan yang kekal itu adalah Allah, yang tinggi itu Allah, yang besar itu Allah, yang hidup dan yang ada itu hanya Allah s.w.t sahaja. Makhluk itu bersifat binasa, mati dan tidak ada. Apabila makhluk itu sudah tidak ada, barulah sifat ada bagi Allah s.w.t itu, adalah hanya milikNya.

Oleh kerana terdapat pelbagai kaedah dan jalan, jadi apapun jalan, kaedah atau cara, itu hak masing untuk mendatangkan kecintaan dan untuk mendatangkan sembah kepada Allah s.w.t, asal sahaja jangan terkeluar dari akidah sunnah dan Al-Quran. Golongan kedua, tidak mengaku bahawa dirinya Allah s.w.t, tidak pernah mengajar yang Rasulullah s.a.w itu bukan Nabi dan tidak juga mengaku dirinya Rasul atau Nabi. Bagi mereka, hanya cara pendekatan kepada Allah s.w.t itu, lebih kepada ilmu rasa yang teramat jauh lebih dalam dan tinggi menujuNya.

Oleh itu kepada pemerintah, pengamal undang-undang syariat dan kepada jentera yang memegang hukum janganlah cepat menghukum jika kita sendiri tidak arif. Kerajaan sekarang, tidak ada ulamak yang ahli dalam bidang tasawuf, apa lagi bidang ilmu makrifat. Apa yang kita timba dari Mesir itu adalah ilmu feqah. Tidak ada sebuah universiti pun yang berfakulti tasawuf di dunia ini. Jadi, apakah hukum yang hendak dijatuhkan kerana kita sendiri pun tidak sampai kesana?!.

Inilah yang dikatakan maqam (tingkatan) ilmu makrifat.

Sifat Allah s.w.t tidak akan pernah sama dengan sifat makhluk. Golongan ulamak yang kedua menjelaskan di sini bahawa menolok dengan sekeras-kerasnya dan menafikan persamaan antara Allah dengan yang selain dariNya. Allah s.w.t bukan sesuatu, bukan ain dan bukan benda, tidak bertempat oleh sesuatu masa, tidak menyerupai atau serupa dengan sesuatu dan tidak dikandung tempat atau waktu. Selain dari Allah s.w.t itu, adalah bersifat baharu. Apa-apa yang bersifat itu baharu, apa yang bernama itu baharu, apa-apa yang berafaal itu baharu dan apa-apa yang berzat itu baharu.  Apa-apa yang ada nama itu, bukan Allah kerana Allah bukan nama. Apa-apa yang bersifat itu, bukan Allah, kerana Allah itu tidak bersifat. Apa-apa yang berafaal itu, bukan Allah, kerana Allah itu, tidak berafaal, Apa-apa yang berberzat itu, bukan Allah.  Allah itu adalah Allah (Allah berdiri sendiri).

Yang dahulu itu, Allah. Yang sekarang itu, Allah dan yang akan datang itu, adalah juga Allah yang satu. Tidak ada yang lain selain Allah s.w.t.  Allah s.wt itu, hidup manakala sifat makhluk itu, mati. Diri kita ini adalah dari jenis makhluk, pastilah makhluk itu bersifat mati. Jangan mengaku yang hidup ini kita, tetapi mengakulah bahawa kita ini mati dan yang hidup itu hanyalah Allah s.w.t. Bilamana kita mengaku yang kita ini mati, apalah yang tinggal melekat pada jasad kita lagi melainkan binasa dan tidak punya apa-apa. Cuba lihat dan perhatikan jenazah yang mati. Apa lagi yang ada pada si mayat?. Begitulah yang adanya pada diri kita ini. Diri kita ini sebenarnya mati. Bila mati, siapa yang melihat dan siapa yang bergerak?.

Matinya kita bukannya bermaksud menunggu jasad masuk ke bumi, tetapi matinya kita itu, setelah sifat hidupnya Allah s.w.t itu, hidup selamanya dan matinya kita untuk selama-lamanya. Bermakna kita ini belum pernah hidup dan tidak pernah hidup selain yang hidup itu hanya sifat bagi Allah s.w.t. Wujud yang hakiki dan hidup yang hakiki itu adalah hanya milik mutlak bagi Allah s.w.t.

Wujud dan hidupnya kita ini, hanya terbatas pada sangkaan adanya bayang. Namun yakin dan percayalah kita bahawasanya jika sekalipun adanya bayang, ianya khayalan akal semata-mata. Bayang itu, tidak pernah ada bersifat dan tidak pernah dengan hakiki, melainkan jika bayangan itu ada pun, adalah ada yang tidak berain, yang ada pada pada sangkaan atau pembalikkan bayangan dari tuan yang empunya bayang semata-mata. Bayang tidak berain. Sekiranya berain, cuba tuan-tuan pegang atau raba bayang wajah diri tuan-tuan sendiri. Adakah ianya tersentuh atau tergapai?.  Usah kata boleh dipegang atau untuk diraba dengan tangan, terpejam sahaja mata kita, bayang tidak kelihatan.

Sungguhpun bayang itu wujud pada khayalan akal, namun pada kebiasaannya, kita lebih mengenali bayang daripada mengenal tuan yang empunya bayang. Kita lebih kepada perkataan “tahu” daripada perkataan “mengenal”. Kita tahu diri tetapi tidak ramai yang mengenal diri. Begitu juga Allah s.w.t. Ramai yang tahu Allah s.w.t tetapi tidak ramai yang mengenalNya. Kita lebih mengenal watak wayang kulit dari pada mengenal tok dalang yang memainkan wayang kulit itu.

Seolah-olahnya, ramai yang menyangka bahawa “bayang” watak wayang kulit yang bergerak di sebalik tabir putih itulah yang hidup, yang kaya, yang besar, yang menjadi pahlawan, jadi raja atau jadi jin. Sedangkan yang hidup, kaya, pahlawan, jin, dan besar pada hakikat sebenarnya itu, adalah peranan atau lakonan tok dalang. Yang sebenar besar itu, adalah tok dalang dan yang segala-galanya itu, adalah juga dari tok dalang dan bukannya watak wayang kulit yang diperbuat dari belulang kering.

Golongan ulamak kedua, dengan penuh yakin dan percaya sepenuh jiwa bahawa segala sesuatu yang selain daripada Allah s.w.t itu, baik yang dapat dicapai oleh pancaindera mahupun yang hanya dapat digapai oleh akal, ianya adalah baharu. Manakala sifat baharu itu, sebenarnya adalah tidak wujud. Yang lama (qadim), yang sekarang (baharu) dan yang terkemudian itu, adalah juga Allah s.w.t. Yang kekal zahir dan kekal batin itu, adalah juga bagiNya. Bilamana sifat dahulu, baharu sekarang mahupun juga yang akan datang itu Allah s.w.t, tidak timbullah perkara yang baharu itu di rujuk kepada makhluk.

Yakinlah kita semua bahawa sifat mata zahir yang dikatakan bersifat makhluk itu, tidak sekali-kali dapat melihat Allah s.w.t, selagi masih hidup di dunia. Namun, sekiranya kita sudah bertaraf mati (mati sebelum mati), kenyataan Allah s.w.t itu dapat dilihat dengan terang, jelas dan nyata melalui mata hati, biar pun kita dikatakan masih di alam dunia yang nyata ini!.

Jika kita dapat mematikan diri kita semasa masih di dunia, maka dapatlah kitaa melihat, memandang dan menilik Allah s.w.t di alam dunia melalui mata hati. Bagi mereka yang tidak mendapat mati sebelum mati ketika di dunia, bilamana betul-betul mati iaitu berpisah nyawa dari badan, sama sekali tidak akan dapat melihat Allah s.w.t (buta di dunia maka akan terlebih butalah di akhirat esok).

Bilamana kita sudah berjaya melihat Allah s.w.t semasa di dunia, alam akhirat sudah tidak lagi mendapat tempat di hati kita. Tidak lagi bermakna alam akhirat itu bagi kita kerana melihat wajah Allah s.w.t itu, lebih besar dari syurga dan teramat berharga dari nilaian balasan atau ganjaran pahala. Barangsiapa yang menuntut ilmu sehingga sampai kepada tahap makrifat kepada Allah s.w.t, itulah yang dikatakan syurga dunia. Bilamana kita sudah dapat mencapai kepada tahap ilmu makrifat, syurga dan neraka semasa di akhirat esok, bukan lagi menjadi ukuran, lantaran kebahagiaan dan suatu kepuasan apabila dapat bersama Allah s.w.t, biarpun semasa hayat masih di alam dunia. Bagi sesiapa yang telah ataupun yang pernah memasukinya, nescaya tidaklah ingat dia akan syurga di akhirat.

Inilah hasilnya bagi mereka-mereka yang menghumbankan diri mereka ke dalam ilmu makrifat.  Pencapaian ilmu makrifat yang tertinggi itu, adalah bagi mereka-mereka yang tidak lagi terpandang akan syurga atau balasan pahala akhirat. Pengalaman pencapai makrifat itu, tidak akan dapat dinikmati, melainkan melalui pengalaman diri sendiri. Orang lain tidak sekali-kali akan dapat menterjemah atau mengkhabarkan bagi pihak kita, melainkan melalui pengalaman diri sendirilah yang tahu keindahan dan kelazatannya apabila sampainya kita ke alam makrifat kepada Allah s.w.t.

Ilmua percaya dan ilmu yakin kepada Allah s.w.t itu, ada empat tingkatan. Kalau dikatakan percaya, semua di kalangan kita akan mengatakan percaya kepada Allah s.w.t. Jika ditanya sama ada kita percaya atau tidak kepada Allah s.w.t, sekecil-kecil usia kanak-kanak sekalipun, mereka akan mengatakan percaya kepada Allah s.w.t. Pada hakikatnya, patah-patah perkataan “percaya kepada Allah” yang keluar melalui sebutan zahir bibir mulut itu, hanyalah sekadar pergerakkan bibir yang mengeluarkan suara. Bukannya dari pengertian hakikat hati yang benar!. Itu adalah sebutan bibir yang tidak disertai dengan getaran yakin yang sebenar.

 

Pendapat ulamak keempat

 

4)               Ini pula bagi pendapat saya (yang bukan dari kalangan ulamak). Ketiga-tiga pendapat di atas ini, tidak berlawanan, tidak bercanggah dan tidak ada pertentangan antara satu sama lain. Ketiga-tiga pendapat itu, adalah semata-mata bertujuan bagi menggambarkan sifat Allah yang satu!.

 

Pendapat ulamak keempat itu, adalah pendapat ulamak yang berada pada tahap mengenal Allah. Bilamana mereka yang sudah berada pada tahap mengenal Allah, segala pendapat itu, semuanya adalah benar belaka. Pendapat ulamak keempat atau pendapat orang makrifat itu, seumpama orang buta mengenal gajah.

 

Perumpamaan; Orang buta mengenal gajah

Pada suatu hari, ada beberapa orang buta yang berhajat untuk mengenal gajah. Salah seorang darinya, terpegang bahagian kaki gajah, lalu dia berkata kepada sahabat-sahabatnya (yang sama-sama buta), aku sudah kenal gajah, gajah itu sama seperti batang kelapa. Orang buta yang kedua pula, terpegang perot gajah, lalu dia berkata, aku sudah kenal gajah, gajah itu sama seperti tempayan air. Orang buta ketiga terpegang ekor gajah, lalu dia berkata, aku sudah kenal gajah, gajah itu sama seperti tali yang ada rambu-rambu dihujungnya, begitulah seterusnya.

Ada yang terpegang gading, dia kata gajah itu, sama seperti hujung lembing, yang pegang belalai, berkata gajah itu, sama seperti batang pisang dan berbagai-bagailah kenalnya orang buta kepada gajah.

Setelah tuan-tuan baca cerita diatas, sekarang saya mahu bertanya kepada tuan-tuan, Salahkan orang buta pertama, salahkah orang buta kedua, salahkah orang buta ketiga dan salahkah orang-orang buta seterusnya?. Cuba jawab, salahkah mereka itu?……………………….

Bagi orang yang berpengajian feqah dan orang yang berilmu syariaat, mereka tetap mengatakan yang orang buta itu salah. Semua orang buta itu, salah belaka. Pendapat dia sahaja yang betul, yang benar, yang sah dan yang diterima Allah. Pendapat orang buta lain itu, semuanya sesat, salah, tak betul dan semuanya ajaran sesat.

 

Adapun bagi pendapat ulamak yang keempat (orang yang makrifat kepada Allah), Berlainan, berbeza dan bertentangan dengan pendapat orang feqah dan orang syariaat. Orang mengernal Allah (orang makrifat) itu, adalah orang yang membenarkan semua pendapat orang buta!.

 

Cuba tuan-tuan jawab pertanyaan saya, apa tidak benarkah dan apa salahkah orang buta pertama yang mengatakan gajah itu seperti batang kelapa?. Cuba jawab pertanyaan saya sebelum membaca ulasan saya selanjutrnya!. Salahkah orang buta pertama mengatakan yang gajah itu seperti batang kelapa?.

 

Salahkah orang buta kedua, orang buta ketiga, keempat dan orang buta yang lian-lainya, yang mengatakan gajah seperti tempayan air, seperti tali, seperti lembing dan sebagainya, salahkah?, cuba jawab……………

Itu makanya, kita jangan cepat menuduh orang itu salah, orang ini salah, orang itu sesat dan orang ini sesat!. Sedangkan semuanya menunjukkan kepada gajah (gajah yang sama)!.

Orang makrifat itu, adalah orang yang celek, orang yang sedar dan orang yang khasyaf yang dapat melihat gajah pada keseluruhan. Bila melihat dengan penglihatan, keseluruhan gajah akan kita kenal. Setelah kita kenal, kita tidak menyalahkan orang lain. Melainkan benar belaka. Lainlah jika orang buta itu mengatakan yang kaki gajah itu berbulu seperti beruang atau kaki gajah itu panjang seperti unta, itu dah tentu salah dan dah memang tentu salah.

Orang yang bergelar sebenar-benar ulamak (mengenal Allah) atau orang makrifatullah, tidak sekali-kali mengatakan oranng lain salah. Tujuan kita sama, iaitu mengenal gajah!.

 

Begitu juga denngan orang Kelantan nak ke Kuala Lumpur. Boleh saja melalui jalan Gua Musang, jalan Kuala Terengganu, Jalan Gerik, jalan keretapi dan boleh juga melalui jalan kapal terbang. Janji semuanya sampai ke Kuala Lumpur. Jangan sahaja tahu jalan Gua Musang, lalu menuduh orang yanng ikut jalan lain itu salah!. Inilah kedudukkandan iktikad orang ulamak keempat yang makrifatullah, benar belaka……………………………………

 

18 Replies to “4 Ulamak ada 4 pendapat dan 1,000 ulamak, maka 1000lah pendapat!”

  1. Yang keempatAllah memberi dia kelebihan melihat keseluruhan gajah. Manakala yang lain melihat/merasa sebahagian gajah sahaja. Oleh kerana gajah itu teramat besar maka yang dibicarakan dan terus membicarakan hal ehwal kaki sahaja atau belalai sahaja atau telinga sahaja. membicarakan hal-hal itu sahaja sudah memenuhi keseluruhan hidup 1, 2 dan 3.

    Untuk melihat keseluruhan gajah itu dari dekat kita kena jadi lebih besar dari gajah. Kalau kita kecil maka keseluruhan gajah hanya dapat dilihat dari jauh sahaja. Tentu sempurna ilmu dekat dan ilmu jauh ini mendapat titik pertemuan.

    1,2,3 perjalanan nampak seperti jauh dek kerana begitu teliti penceritaan ilmu dan tahap-tahap. Tapi ke 4 nampak cepat perjalanannya. Kenapa ya?
    Kita sudah menjadi hamba Allah dan kita mengikut sahaja. Maka saya takut, wahai Tuan Guru, kalau-kalau saya ni Allah letak dalam hamba derhaka. Macam mana nak elak. Cuma saya yakin akan Rahmat dan Rahim Allah mengatasi segalanya dan Dia tak kan menganiaya saya.

    Takut ….. harap …..

    Like

  2. salam tuan guru allah bersamamu.
    pendapat dari ketiga ulama itu tidaklah salah karena ketiga dan keempat ulama itu tidak lain mengenal allah dengan rasa,tak ada rasa mana tau yg gaRAM itu masin garam pun tak kelihatan karena sudah lebur ke dalam wajah allah.manakala orang2 buta itu tiada salah pula dengan jalannya karena mereka mengenal allah dengan RASA.
    allah berkati tuan guru

    Like

  3. Ula mak Usuluddin dipelopori oleh Imam Al .Ghazali/ Ulamak Al. hulul dipelopori Al Halaz .Ulamak Wahdatul Ujud dipelopori . Ibnu Arabi / Sesungguhnya kehidupan ini manifestasi keujudan ALLAH .tapi ALLAH bukan kehidupan .

    Like

  4. Segalanya benar belaka. Semuanya dariNYA jua. Jika menyalahkan yang lain maknanya wujudnya penyataan diri. Wujud diri dan wujud DIA. Dah ada dua wujud.

    Like

  5. Sejahtera buat Tn. Guru.
    Mohon penerangan & kefahaman dr Tn. Guru. Apakah yg dikatakan Redha, pasrah & berserah. Bila tahu tak semestinya kenal, bila kenal tak semestinya rasa. Kena tahu Kenal & rasa.

    Like

  6. assalamualaikum…wbt tuan guru…terima kasih atas pencerahan yg ditunggu tunggu pada kali ini…umpama kepuasan berbuka setelah seharian berpuasa….alhamdulillah…mohon tuan guru berkongsi illmu Allah lagi tentang bersyahadah ketika solat….apakah maknanya saksi , disaksi dan aku naik saksi ? terima kasih tuan guru

    Like

  7. Segalanya warna warni atau rambu rambu DALAM CERITA YANG SATU (Satu itu dijumpai atau founded by Indians (orang india) yg kita orang Melayu faham dan saya lebih selesa dengan perkataan ESA. Bila YG SATU bercerita sebagai DALANGnya , ni cerita watak wataknya…………..APApun , kalau awak faham ia berbeza , maka berbezalah ia. kalau cerita kat atas nampak sama atau satu, satu lah ia. ALLAHuAKHBAR. Awak tengok GELAS yg dalamnya ada ISI air separuh banyak. AWAK BOLEH Takrif SEBAGAI SEPARUH PENUH ATAU separuh KOSONG. so balik pada HIDAYAH – itulah karakter atau lakanon masing2 for about plus/minus 60 years itu sahaja………….

    Like

      1. semua jalan adalah sama tapi yg pasti semuanya menuju matlamat yg sama….saya tidak pernah terlepas peluang mengikuti tiap coretai tn hj….t/ kasih kerana masih sudi membimbing

        Like

  8. ya…guru…semua benar dn tiada salah ,cuma kefahaman itu mengikut tingkat akal fahamnya masing2….semua faham itu hanyalah jalan2 utk menuju kpd sebenar-benar mgenal…dn bgi yg mgenal tidak ada yg nak disalahkn kpd itu semua ,krn ia faham keadaan prjalanan menuju makrifat….
    Yg berbalah2 itu krn blum cukup mengerti akan makrifat itu sendiri ,krn faham masing2 dlm keadaan separuh2 dn byk hal yg blum ketahui…
    Moga guru sihat2 slalu…

    Like

    1. https://makrifattokkenali.wordpress.com/2013/07/24/4-ulamak-ada-4-pendapat-dan-1000-ulamak-maka-1000lah-pendapat/




                                                                     Isi Kandungan